Thursday, May 22, 2014

Cukuplah Allah Bagiku...

Bismillahirrahmanirrahiim...




Segala pujian hanya milik Nya.. Sesungguhnya, kerajaan langit dan bumi ini milikNya sahaja, dan Allah berhak melakukan apa sahaja. Jika Dia ingin mengurniakan sesuatu kepada seorang hambaNya, maka tiada siapa dan apa-apa pun yg dpt menghalangnya. Andai Dia mahu mengambil sesuatu daripada hambaNya, maka tiada tangan yg mampu menahannya.

Maka kehidupan seorang insan yang mengakui keesaan Allah swt dan kerasulan Muhammad saw, dipenuhi dengan ujian. Setinggi mana keyakinan seseorang itu terhadap Allah, dan sekuat mana pegangannya terhadap penyaksiannya itu akan terbukti melalui ujian yang menimpa nasibnya.

Oleh itu, saya juga sedang diuji. Subhanallah, Maha Suci Allah. Sesungguhnya hanya Allah yang selayaknya dipuji kerana ujian ini datang dariNya. 

1) Saya ingin menyertai kelas jahitan langsir, sudah daftar dengan deposit RM200, tetapi bajet pula tidak mencukupi kerana yurannya adalah RM800. Maka kelas ini saya tangguhkan.

2) Ingin mengadakan kelas tuisyen untuk menjana modal perniagaan dan menghadiri kelas langsir. Konsepnya berlainan dengan tuisyen sedia ada kerana saya ingin mendidik dengan dalil-dalil al-Quran, di samping mengajar berdasarkan silibus. Iklan sudah ditampal di beberapa tempat, tetapi sehingga kini belum ada yang menghubungi.

3) Saya ingin memohon pinjaman perniagaan (sebagai alternatif), namun tidak mendapat sokongan suami. 

4) Saya ingin mengadakan usrah dan perbincangan agama, mengajak sahabat terdekat untuk sama-sama mengingati Allah, tetapi sambutannya pula sangat kurang, dan saya perlu membatalkan hasrat itu.

5) Saya ingin menjadi ibu yang baik dan penyabar. Namun saya diuji dengan anak yang sangat cerdik dan sangat aktif, sehingga kesabaran saya benar-benar diuji. 

Sejujurnya, pernah saya berfikir, apakah yang menyebabkan semua ini? Adakah saya ini terlalu banyak dosanya? adakah saya terlalu jahat sehingga niat saya baik untuk melakukan semua itu, tetapi sehingga kini masih tidak mendapat apa-apa? adakah saya sebenarnya tidak ditakdirkan untuk syurga? Adakah hidup saya ditakdirkan untuk tidak berkat? orang lain, bahkan yg bukan islam pula, mudah sekali urusannya.... 

Ya, saya akui semua itu pernah terlintas di hati sehingga saya menangis seorang diri. Hendak diceritakan pada suami, menambah bebannya pula. Lalu saya pujuk hati ini....



Wahai hati, sesungguhnya Allah itu Maha Baik. Dan Allah tidak pernah sesekali menzalimi hambaNya! Bukankah engkau mahu jadi baik? Maka terlebih dahulu engkau perlu diuji. Dengan itu barulah engkau tahu jika engkau benar-benar beriman dengan Allah! Wahai hati, Allah tahu apa yang engkau tidak tahu, oleh itu jangan pernah berputus asa dari rahmatNya. Sekarang engkau sedar, bahawa Allah sangat penting dalam kehidupanmu, maka berpegang teguhlah pada tali Allah. Jangan bersedih, kerana engkau kata engkau yakin pada Allah. Nah, buktikanlah keyakinanmu itu dengan terus-terusan berdoa dan berharap dengan pengharapan seorang hamba! Lipat-gandakan usaha dan jangan buang masa! andai engkau rasa dirimu berdosa, janganlah bimbang wahai hati.... memang benar, byk perkara yang menyedihkan akan berlaku disebabkan dosa. Tetapi janganlah menyalahkan Allah wahai hati... demi Allah, bersabarlah, dan redha, kerana dengannya engkau akan merasa lapang dan seolah-olah Allah ada bersamamu... kalaupun engkau banyak dosanya, yang menyebabkan engkau rasa rahmat Allah itu jauh darimu, semoga kata-kata Rasulullah saw ini menjadi penghibur hatimu... pernah baginda bersabda yang bermaksud:

Drpd Anas bin Malik ra berkata, bhw dia mendengar Rasulullah saw bersabda, bhw Allah swt berfirman : " Wahai anak Adam, selagi engkau meminta dan berharap kepadaKu maka Aku mengampuni segala dosamu yang telah lalu, dan Aku tidak akan mempedulikannya. Wahai anak Adam, jika dosamu sampai setinggi langit lalu engkau meminta ampun kepadaKu nescaya Kuampuni. Wahai anak Adam, jika engkau dtg kepadaKu dengan kesalahan seluas permukaan bumi lalu engkau menemuiKu tanpa menyekutukan sesuatu pun denganKu, nescaya Aku dtg kepadamu dengan ampuna seluas bumi pula."

(Riwayat al-Tirmizi no3534 dan al-Baghawi dalam Syarhus Sunnah)
Rujukan: Hadis 40 Imam Nawawi, Terbitan Telaga Biru, Tulisan Dr Zahazan Mohamed & Muhammad Zakaria


Astaghfirullah al 'azim.... apa yang mengharukan, ketika saya dilanda murung memikirkan ujian ini, pada hari yang sama, selepas solat Asar, Allah mentakdirkan saya untuk membaca sebuah buku. Lalu dengan izinNya, saya menemui hadis di atas. Subhanallah..... sememangnya terasa Allah itu Maha Melihat, Maha Mengetahui, Maha Pengampun, Maha Mulia.... maka dengan pujukan ini, saya akan terus bersabar dan berusaha... bila masanya tiba, dengan izin Allah, setiap kesulitan ini akan dipermudahkanNya....

Oleh itu, dengan ujian ini, syukur kepadaMu Ya Allah..


No comments:

Post a Comment